Kemasukan Kemboja dalam ASEAN ditunda

KUALA LUMPUR 10 Julai - Mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN hari ini sebulat suara mengambil keputusan menangguhkan kemasukan Kemboja ke dalam pertubuhan serantau itu sehingga ke satu tarikh yang belum diketahui ekoran perebutan kuasa di negara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap ASEAN, Datuk Abdullah Badawi berkata, ASEAN juga mengambil keputusan mengiktiraf Putera Norodom Ranariddh sebagai Perdana Menteri Pertama Kemboja yang sah.

Bagaimanapun Menteri Luar itu berkata, ASEAN belum memutuskan untuk menganggap kerajaan Perdana Menteri Kedua negara itu, Hun Sen, yang mengambil alih Kemboja menerusi kekerasan daripada Ranariddh sebagai haram atau sebaliknya.

Kata beliau, serentak dengan pergolakan politik itu juga ASEAN akan menghantar satu delegasi terdiri daripada tiga menteri luar untuk menghadap Raja Norodom Sihanouk dan juga kedua-kedua-dua Perdana Menteri itu untuk mencari penyelesaian sebaik mungkin.

Delegasi akan diketuai oleh Menteri Luar Indonesia, Ali Alatas dengan diiringi oleh rakan sejawatannya dari Filipina, Domingo Siazon dan Thailand, Prachuab Chaiyasarn.

Abdullah berkata, semasa ASEAN berpegang kepada prinsip untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara lain, tindakan untuk menangguhkan penyertaan Kemboja itu terpaksa diambil kesan daripada penggunaan kekerasan di negara itu.

''Tindakan paling bijak diambil ialah dengan menangguhkan kemasukan Kemboja sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar yang berlangsung selama setengah hari di sini.

ASEAN yang dianggotai oleh Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dijadual menerima Kemboja bersama-sama Laos dan Myanmar sebagai anggota penuh pada Mesyuarat Menteri ASEAN ke-30 yang berlangsung di sini mulai 24 sehingga 25 Julai ini.

Keputusan untuk menerima penyertaan Kemboja, Laos dan Myanmar dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Disember 1995.