KUALA LUMPUR 28 April - Pas, sebuah parti yang mahu menegakkan negara Islam bersetuju untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama dengan DAP yang menolak pemerintahan Islam, dengan tujuan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Kedua-dua parti yang sebelum ini mendakwa mahu tetap mempertahankan ideologi masing-masing itu, menandatangani perjanjian yang dipanggil Prinsip Kerjasama pada satu majlis khas selepas pertemuan para pemimpin pembangkang di sini, malam tadi.
Perjanjian tersebut turut ditandatangani oleh Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebuah parti yang pernah berteraskan sosialisme dan parti Keadilan Nasional (Keadilan), sebuah parti baru gerakan reformasi yang ditubuhkan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Prinsip kerjasama itu merupakan antara tiga prinsip penting yang dicapai pada pertemuan tersebut.
Bentuk pakatan terbaru empat parti pembangkang itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.
Ia ditandatangani oleh Presiden Pas, Fadzil Noor; Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang; Presiden Keadilan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PRM, Dr. Syed Husin Ali.