Keluarga Yang Tersayang

Zaini dan Sarimah mengalu-alukan kunjungan anda ke laman web yang mengisahkan keluarga kami. Kami baru sahaja mula mendirikan laman web ini. Tetapi sekurang-kurangnya usaha kami ini ternyata terhasil untuk mendokumentasikan kisah-kisah hidup kami yang telah berkeluarga tujuh tahun yang lalu. Hidup ini memang sesuatu yang menyeronokan. Justeru, kami berpendapat pengalaman ini dapat dikongsi bersama untuk tatapan anda semua.

Negara memerlukan kelahiran keluarga yang bahagia. Sudah tentu kita dapat melakukan sesuatu untuk negara. Mungkin kita boleh bermula dari sini, dari laman web yang menjadi kemudahan terbaru untuk berkomunikasi.



KELUARGA BAHAGIA ZAINI & SARIMAH

SEBUAH keluarga bahagia memerlukan persefahaman yang erat antara suami dan isteri. Anak-anak turut memainkan peranan penting dalam menjalin kasih sayang sebuah keluarga.

Bagai keluarga kami, anak-anak adalah pendorong utama yang menyinarkan kebahagian keluarga.

Nur Hanis Athira (2-4-1991) yang dalam darjah dua di Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 3 di Shah Alam adalah anak sulung dalam keluarga ini. Dia ni suka `melamun' sehingga beberapa kali ditegur oleh gurunya.

Bagaimanapun kini dia begitu rajin membuat matematiknya setelah motivasi demi motivasi diberikan kepadanya. Kini dia sudah mulai faham mengenai mata pelajaran itu dan sudah `terlalu' minat membuat latihan. Cita-cita ingin menjadi arkitek supaya dapat membina rumah yang cantik untuk mama dan abah.

Kedua, Alif Danial (9-2-1994) kini berusia 5 tahun. Terlalu minat untuk menjadi pilot, kini sedang tekun belajar mengenal huruf, mengira dan membaca di Tadika Masjid Negeri Shah Alam. Cikgunya memberitahu dia adalah salah seorang `top 10' di dalam kelasnya.

Ketiga, Nurina Batrisyia (31-7-1997) adalah anak bungsu kami. Dia berusia satu setengah tahun. Kecerdikan sudah terpancar apabila dia sudahpun mula membaca 1...2...3 hingga 10 dan ikut menyanyi lagu-lagu patriotik di dalam TV.

Keempat, masih dalam kandungan...insyaAllah pada Oktober 1999 akan lahir.

Sebagai IBU kepada kanak-kanak ini, tanggungjawab mendidik mereka begitu berat sekali. Dalam zaman serba mencabar ini tugas mendidik anak-anak bukan kerja mudah. Saya percaya kepada hubungan intim dengan anak-anak. Interaksi dengan mereka perlu dilakukan sekerap mungkin. Ia berupa dialog mengenai agama, pendidikan, moral dan perkara-perkara lain.

BAPA mereka, M. Zaini Hassan ialah seorang yang terlalu sibuk. Keluar ke pejabat jam 9 pagi dan hanya akan pulang ke rumah jam 11 malam. Walaupun begitu dua hari offnya digunakan sebaik mungkin untuk berinteraksi dengan kami semua. Dia adalah bapa dan suami yang baik serta penyayang.

LATAR BELAKANG SAYA : Dilahirkan pada 20 Jun 1962 di Kuala Pegang, Baling Kedah. Dari sekolah kampung, saya kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Teknik, Alor Setar dalam jurusan Kejuruteraan Awam. Itulah pengalaman pertama terpaksa tinggal di asrama berjauhan dengan ibu bapa. Kemudian melanjutkan pelajaran ke ITM dan pernah bejalar ke University of Alabama di USA dan University Stirling, UK.

Kini bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Siswazah di Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam, setelah berkhidmat di sektor swasta.

SUAMI SAYA: Dilahirkan di Kedah iaitu di Tunjang, Jitra pada 30 Julai 1964. Dia dibesarkan dan berpendidikan di KL sebelum melanjutkan pelajaran ke ITm dalam jurusan Sebaran Am.

Kini bertugas sebagai Pengarang Berita (News Editor) dengan akhbar nasional - Utusan Malaysia. Melanjutkan pelajaran ke University of Stirling, Scotland, UK dalam bidang Pengurusan Media dan Pengurusan Perniagaan sehingga 1996. Di dalam tugasnya dia banyak bergerak dan telah membuat liputan berita ke hampir seluruh dunia.



Gambar Sekeluarga

Tulisan-tulisan Zaini

Penghubung-penghubung Terpilih

Sarimah Di Sekolah

Pengalaman Saya Di Scotland


Kami Menanti E-mel Anda[email protected]